| Interview Rakan Masjid Januari 2010 |
|
SESI TEMUDUGA RAKAN MASID Disediakan oleh : Muhamad Hafiz Mughni bin Azhar Multipurpose Hall (MPH), 4 Februari 2010- Sesi temuduga Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bagi semester Januari 2010 telah pun berlangsung dengan jayanya dan dapat dilihat sambutan daripada mahasiswa dan mahasiswi UTP begitu memberangsangkan pada sesi temuduga kali ini. Sesi temuduga terbuka Rakan Masjid ini berlangsung selama dua hari. Sesi yang pertama diadakan pada 2 Februari bertempat di Masjid Lama, manakala sesi yang kedua pula diadakan di Multipurpose Hall. Selepas seminggu berlalu malam pengenalan Rakan Masjid yang diadakan khas untuk memperkenalkan Persatuan Rakan Masjid UTP ini kepada mahasiswa dan mahasiswi yang baru mendaftarkan diri, ternyata barisan kepimpinan yang diterajui oleh Saudara Muhamad Akram bin Ismail, Presiden Rakan Masjid telah berjaya menarik minat ramai mahasiswa dan mahasiswi untuk menghadirkan diri ke temuduga ini. Temuduga ini sebenarnya bukan hanya dibuka kepada mahasiswa dan mahasiswi yang baru mendaftarkan diri di UTP ini sahaja, tetapi ia juga terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UTP tanpa mengira tahun pengajian mereka, jadi tidak hairanlah banyak juga mahasiswa dan mahasiswi UTP yang sudah berada pada tahun pertama dan kedua pengajian turut hadir untuk ditemuduga. Seperti semester-semester yang lalu, sesi temuduga diadakan mengikut lajnah-lajnah yang ingin disertai oleh calon sendiri. Mereka bebas untuk memilih lajnah yang mereka minat untuk disertai. Antara lajnah yang ditawarkan ialah Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan, Lajnah Strategi dan Dakwah, Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan, Lajnah Akademik dan Pembangunan Insan, Lajnah Rekreasi Kesenian dan Kebudayaan, Lajnah Kebajikan dan Perpaduan, Lajnah Informasi dan Multimedia, Lajnah Antarabangsa, Hal Ehwal Siswi (HELWI) dan akhir sekali Tanzim Jabatan Nuqaba’. Interviewers pula terdiri daripada mas’ul dan mas’ulah lajnah itu sendiri. Oleh itu mas’ul dan mas’ulah ini berhak untuk memilih ahli yang mereka rasakan layak dan berkemampuan untuk melaksanakan tugas yang bakal diberikan. Sesi temuduga kali ini bermula tepat pada jam 9.30 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam. Sebelum bersurai, mahasiswa dan mahasiswi yang hadir untuk ditemuduga dihidangkan dengan sedikit juadah yang telah disediakan. Semoga dengan minat yang begitu memberangsangkan yang telah ditunjukkan oleh bakal-bakal ahli baru Rakan Masjid yang telah menyertai sesi temuduga ini, dapat memantapkan lagi Rakan Masjid untuk menjayakan visi “Membina Bi’ah Solehah” di bumi UTP yang tercinta ini. |
