Lawatan Muhibbah Rakan Masjid USMKK

Lawatan Muhibbah Rakan Masjid USMKK

Oleh: Herman Hari B. Matraji

 

 

21 November 2009, UTP – Pihak Rakan Masjid USM Kubang Kerian (USMKK) telah selamat tiba di Universiti Teknologi PETRONAS seawal jam 9.00 pagi. Seramai 24 orang pelajar iaitu 10 orang muslimin dan 14 orang muslimat telah mengikuti rombongan ini termasuk 4 orang ustaz pengiring. Antara tujuan mereka mengadakan lawatan ini adalah untuk berkongsi sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman disamping mengeratkan lagi ukhuwah antara Rakan Masjid UTP dan Rakan Masjid USMKK.

                Majlis telah bermula dengan Ucapan daripada wakil Pusat Islam USM dan kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Ustaz Rahmat bin Abu Seman, selaku Eksekutif Kanan, Unit Pentadbiran Masjid, UTP. Beliau telah menceritakan serba sedikit tentang latar belakang Unit Pentadbiran Masjid seperti sejarah penubuhan dan carta organisasi.

                Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi ta’aruf oleh semua ahli Rakan Masjid UTP dan Rakan Masjid USMKK yang sempat hadir pada hari tersebut. Selepas itu, saudara Muhammad Akram b. Ismail, selaku Presiden Rakan Masjid UTP telah memberi ucapan. Beliau telah menceritakan gambaran keseluruhannya tentang Rakan Masjid UTP termasuk sejarah penubuhan, lajnah-lajnah dan portfolio masing masing, dan aktiviti –aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun seperti Heart 4 Islam,Ramadhan Discovery dan lain-lain lagi. Kemudian, sesi soal jawab telah diadakan bagi memberi penerangan yang lebih jelas.

                Selepas itu, majlis berehat sebentar untuk minum pagi dan bersambung semula pada jam 12.00 tengah hari.

                Majlis telah bersambung semula dengan ucapan daripada wakil Rakan Masjid USMKK yang telah menceritakan juga secara terperinci tentang Rakan Masjid USMKK. Penubuhannya adalah kesinambungan daripada Rakan Masjid USM induk. Rakan Masjid USMKK telah dibentuk dengan 6 unit iaitu Unit Tarbiah dan Kepimpinan, Unit Dakwah dan Perhubungan, Unit Pembangunan Aktiviti, Unit Akademik, Unit Informasi dan Penerbitan, Unit Ekonomi dan Keusahawanan. Rakan Masjid USMKK baru dibentuk dan dilancarkan pada 18 Januari 2009 oleh Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan.

                Terdapat banyak aktiviti yang dijalankan oleh Rakan Masjid USMKK sepanjang tahun ini antaranya ialah Program Khidmat Masyarakat Bagan Hailam dan Pulau Ketam, Interface Dialogue, Bulan Aurat, Motivasi Keindahan Bersama-mu, Sambutan Maulidur Rasul, Program Memperingati Hari An-Naqba Palestin, Program Kebajikan di Acheh, Program Ihya’ Ramadhan, Forum Bicara Hati dan banyak lagi. Rakan Masjid USMKK juga mewujudkan satu blog rasmi iaitu http://www.rakanmasjidusmkk.blogspot.com.

                Kemudian, satu perbincangan khusus telah diadakan dengan membentuk dua kumpulan, muslimat dan muslimin. Pelbagai soalan telah diajukan daripada kedua-dua pihak dan juga penerangan serta penjelasan yang lebih terperinci telah diberikan. Perbincangan ini berlangsung selama lebih kurang 40 minit.

                Acara diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua pihak Rakan Masjid UTP dan Rakan Masjid USMKK. Selepas menunaikan solat Zohor di Masjid An- Nur, pihak Rakan Masjid USMKK telah dibawa melawat Informasi Resource Centre,IRC dan Undercroft Universiti Teknologi PETRONAS. Sebelum pulang, sesi bergambar telah diambil sebagai kenangan.

                Secara keseluruhannya, lawatan ini telah berjaya mencapai objektifnya dan diharapkan agar kedua-dua pihak Rakan Masjid UTP dan Rakan Masjid USMKK dapat memperoleh sebanyak mungkin manfaat untuk memperhebatkan lagi usaha ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ di kampus masing-masing.