| Forum Kecemerlangan Akademik Dan Persediaan Diri |
|
Forum Kecemerlangan Akademik Dan Persediaan Diri Oleh: Muhammad Asyraff bin Azmi DEWAN KULIAH 1, 1 NOVEMBER 2009- Satu forum yang bertajuk “Forum Kecemerlangan Akademik Dan Persediaan Diri” telah diadakan pada 1 November 2009 yang bertempat di Dewan Kuliah pada jam 8.30 malam. Forum ini telah dianjurkan oleh Rakan Masjid UTP di bawah lajnah akademik dan termasuk juga unit kaunseling dan pembangunan pelajar UTP. “Forum Kecemerlangan Akademik Dan Persediaan Diri” ini merupakan salah satu aktiviti Rakan Masjid yang lebih diberi keutamaan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang bakal menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi. Dalam forum ini, mereka telah didedahkan rahsia-rahsia dan tips-tips yang effektif tentang persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Forum ini telah disempurnakan lagi dengan jemputan dua orang ahli panel yang berpengalaman iaitu saudara Muhd Fakhizan bin Romlie yang merupakan Pensyarah UTP dan saudara Mohd Hakim bin Mohd Nor yang merupakan Presiden Rakan Motivasi. Topik utama yang telah dibincangkan dalam forum ini adalah “Seminggu Terakhir: Apa Persediaan Anda”. Dalam forum ini, tiga tajuk telah telah dibincangkan bagi setiap pusingan iaitu; halangan ketika belajar, rahsia dan tips pembelajaran, dan pengalaman panel dalam proses pembelajaran. Antara pengisian yang telah diberikan oleh ahli panel pada malam itu adalah, kita sebagai pelajar hendaklah menanamkan niat yang betul untuk belajar iaitu mencari keredhaan Allah. Kita hendaklah membetulkan niat belajar bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Hal ini demikian kerana dalam hadis 40 sudah ternyata bahawa sesungguhnya sesuatu perbuatan atau amalan itu dimulakan dengan niat. Jika apa yang diniatkan itu baik, maka hasilnya juga akan baik dan sekiranya niatnya itu tidak baik, maka hasilnya juga tidak baik. Oleh itu, kita hendaklah membetulkan niat agar segala ilmu yang kita pelajari akan diberkati oleh Allah dan masuk ke dalam hati kita. Selain itu, ahli panel juga telah menekankan sifat tidak mudah putus asa dalam diri masing-masing. Hal ini demikian adalah kerana kita sering melihat pelajar yang berasa tekanan ketika belajar kerana tidak menguasai sesuatu subjek terutamanya apabila minggu peperiksaan hampir menjelang. Mereka berasa tekanan kerana mereka sering mengamalkan pembelaran di saat-saat akhir. Hal ini akan menyebabkan mereka sukar ulangkaji semua subjek dalam masa yang singkat di samping menghafal kata kunci yang penting. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan pembelajaran di awal waktu dan tidak mudah berputus asa walaupun sukar untuk memahami sesuatu subjek tersebut. Forum ini telah berakhir kira-kira pada jam 11.00 malam. Para peserta yang mengikuti forum ini kemudiannya dihidangkan sedikit jamuan ringan sebelum mereka semua pulang ke desasiswa masing-masing.
|
