Karya

Peristiwa Pertukaran Qiblat Dari Baitul Maqdis ke Kaabah
Tafsir Surah al-Baqarah Ayat 142 – 147

011

“Dan peringatkanlah mereka tentang hari-hari Allah, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang amat bersabar lagi bersyukur” (Surah Ibrahim : 5)

Hari-hari Allah itu sememangnya perlu diperingatkan sesama kita Umat Islam kerana kita ini alpa. Tambahan pula dengan fitnah penggunakan kalendar Gregorian Miladi atau Masehi itu menjadikan umat Islam semakin jauh dan tercuai daripada mengingati ‘hari-hari Allah’. 

Menjelangnya Rejab dan Shaaban, umat Islam selalunya lazim memperkatakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Namun, terdapat suatu lagi peristiwa yang besar dan penting kepada kita semua di mana riwayat Sahih al-Bukhari secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa ia berlaku sama ada pada pertengahan bulan Rejab atau pun Shaaban, kira-kira 16 atau 17 bulan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW; sejurus sebelum berlakunya Peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah itu. Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah perpindahan Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada al-Barraa’, beliau berkata:

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat “Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan wajahmu ke langit”[surah al-Baqarah ayat 144]. Maka berkata-katalah orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia dan mereka itu adalah Yahudi, “Apakah yang telah memalingkan orang-orang Islam itu daripada qiblat mereka sebelum ini?” Lalu Allah SWT menjawab dengan menyatakan “Bagi Allah itulah timur dan barat”.

“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus {142} Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman) {143}”

“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan. {144} Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. {145} Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui. {146}Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu tergolong dari kalangan orang yang zalim. {147}”

CINTA NABI KEPADA KAABAH, QIBLAT IBRAHIM

Ketika di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW bersolat di bahagian selatan Kaabah supaya Baginda SAW mengadap Baitul Maqdis sebagai perintah Allah, dan dalam masa yang sama Baginda SAW mengadap Kaabah, Qiblat Nabi Ibrahim A.S yang dikasihinya. Apabila Baginda SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah, Allah memerintahkan supaya solat dilakukan secara mengadap ke Baitul Maqdis. Tujuannya adalah supaya dengan ibadah yang dilakukan seumpama ini, ia akan membolehkan Nabi SAW melembutkan hati orang-orang Yahudi di Madinah untuk menerima Islam. Ia juga sebagai isyarat bahawa Syariat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah sama dengan risalah yang diseru oleh Nabi-nabi Bani Israel seperti Musa dan Isa Alayhima as-Salaam.

Akan tetapi sifat mulia yang ditunjukkan oleh Baginda dan umat Islam itu, tidak langsung menggerakkan hati orang-orang Yahudi untuk menerima Islam, bahkan mereka mengejek-ngejek Baginda SAW. Kata mereka “Muhammad itu menentang agama kita, tetapi dalam masa yang sama mengadap Qiblat kita pula. Kalaulah agama kita tidak ada, nescaya Muhammad itu tidak tahu ke arah Qiblat mana dia mahu bersolat!”

Kata-kata seumpama ini amat melukakan hati Nabi SAW. Sehingga diriwayatkan bahawa Nabi SAW menyebut, “aku amat suka jika Allah SWT menghindarkan aku daripada Qiblat Yahudi itu (Baitul Maqdis)”.

ASBAB NUZUL AYAT 142 DAN 144 SURAH AL-BAQARAH

Ibnu Abbas RA dan at-Tabari berpendapat bahawa ayat 144 surah al-Baqarah adalah turun lebih awal daripada ayat 142. Pendapat ini disokong oleh riwayat al-Bukhari dari al-Barraa’ yang telah disebutkan di atas. Akan tetapi az-Zamakhsyari menyatakan bahawa ayat 142 tentang komen Yahudi itu telah turun lebih awal sebelum turunnya ayat perintah menukar Qiblat (Al-Baqarah ayat 144). Ia adalah sebagai mukjizat daripada Allah SWT bahawa Nabi SAW telah lebih awal diperkhabarkan tentang pertukaran Qiblat berkenaan sebelum ia berlaku. Ini adalah supaya hati Baginda SAW dan umat Islam menjadi tenang menghadapi ejekan dan cemuhan Yahudi tersebut.

Di dalam artikel ini, kita akan menghuraikan peristiwa pertukaran Qiblat tersebut dengan menggunakan pendapat Ibnu Abbas RA dan at-Tabari supaya kronologi peristiwa itu dapat difahami dengan mudah oleh pembaca.

Di dalam Sahih al-Bukhari dengan riwayat daripada al-Barraa’, beliau berkata:

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Nabi SAW bersolat mengadap Kaabah buat kali pertamanya adalah pada solat Asar bersama sahabat-sahabat Baginda. Kemudian keluar salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu dan melalui suatu kaum yang pada masa itu sedang rukuk mengerjakan solat, lalu beliau berkata “Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku telah bersolat bersama Nabi SAW mengadap Makkah”. Lalu jamaah tersebut berpusing ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Dalam pada itu (kami teringat) kepada adanya ramai di kalangan sahabat kami yang telah mati terbunuh dan mereka itu bersolat mengadap Baitul Maqdis. Sesungguhnya kami tidak tahu apa nasib mereka. Lalu Allah SWT menurunkan firmanNya yang bermaksud: “Dan tidaklah Allah sekali-kali mensia-siakan iman kamu”.

KESIMPULAN RIWAYAT YANG ZAHIRNYA SEAKAN BERCANGGAH

Berdasarkan riwayat ini, solat yang pertama dikerjakan oleh Nabi SAW mengadap Kaabah di Makkah adalah solat Asar. Riwayat daripada Malik pula menyatakan bahawa solat itu adalah Solat Fajar dan ada juga yang menyebut Zohor. Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah di dalam kitabnya As-Seerah an-Nabawiyyah fee Dhou’ al-Qur’aan wa as-Sunnah (ms.104, juzuk 2, terbitan Darul Qalam 1992 /1412) telah cuba menggabungkan riwayat-riwayat ini dan kesimpulannya adalah seperti berikut:

Pada masa itu Nabi SAW telah pergi menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di kediaman Bani Salimah di luar Madinah. Selepas dijamu makan oleh tuan rumah, waktu Zohor menjelang, dan Nabi SAW bersama-sama mengerjakan solat Zohor. Ketika di rakaat kedua, Jibril Alayhi as-Salaam telah datang membawa perintah Allah supaya menukar Qiblat. Jibril memegang tangan Nabi SAW dan memusing Baginda SAW hampir-hampir tepat ke arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Masjidil Haram di Makkah dan ia diikuti bersama oleh Jamaah yang bersolat bersama Baginda SAW. Peristiwa di mana berlakunya peristiwa itu, kini dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Qiblat) tidak jauh dari Masjid Nabawi di Madinah.

Selepas itu, Nabi SAW kembali ke Madinah dan di situ Baginda SAW bersama para sahabat menunaikan solat Asar secara lengkap sepenuhnya mengadap ke Kaabah. Kemudian salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu telah pergi melawat Bani Harithah dan dia telah memaklumkan kepada mereka tentang hal pertukaran Qiblat lalu mereka menukarnya. Selepas itu, lelaki yang sama atau mungkin juga lelaki yang lain telah pergi ke Quba’ dan menyampaikan perkhabaran itu kepada Jamaah di situ lalu mereka menunaikan solat Fajar mengadap Kaabah di Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.

NABI TERDONGAK-DONGAK KE LANGIT

Kerana cemuhan Yahudi kepada perbuatan Nabi SAW bersolat mengadap Baitul Maqdis, Baginda SAW sering pada waktu malam keluar dan mendongak-dongak ke langit mengharapkan kalau-kalau turunnya wahyu dari Allah untuk menukar Qiblat. Firman Allah SWT:

“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah : 144)

FirmanNya lagi:

“Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui.” (Al-Baqarah : 145-146)

HURAIAN

Allah SWT menerangkan di dalam ayat ini bahawa orang-orang Yahudi itu enggan menerima seruan Nabi SAW bukanlah kerana kurangnya pengetahuan mereka. Sebaliknya, mereka itu hanya mengikut kepada hawa nafsu yang degil terhadap kebenaran. Ayat “Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui” diturunkan bersempena dengan kisah yang berlaku di antara Umar al-Khattab RA dengan Abdullah bin Salaam iaitu seorang Yahudi yang memeluk Islam. Abdullah bin Salaam berkata, “Sesungguhnya aku lebih mengenali Rasulullah SAW berbanding dengan pengetahuanku terhadap anak aku sendiri.” Umar bertanya, “bagaimanakah itu boleh terjadi wahai Ibn Salaam?” Abdullah bin Salaam menjawab, “Ini adalah kerana aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah utusan Allah dengan kebenaran dan yakin. Sedangkan aku tidak bersaksi seperti itu terhadap anakku. Bahkan aku tidak tahu apa yang berlaku kepada orang-orang perempuan!” Lantas Umar menyebut, “Semoga Allah bersama denganmu wahai Ibn Salaam”.

Sememangnya Yahudi dan Nasrani itu tahu tentang perihal kebenaran Islam. Namun golongan ini sentiasa menyembunyikan pengetahuan mereka di atas kehendak hawa nafsu, benci dan iri hati kepada Islam. Tetapi mereka memang bertindak mengikut apa yang telah diterangkan oleh Islam. Pembesar-pembesar Kristian di Eropah hari ini amat bimbang dengan kebanjiran pendatang-pendatang asing ke Eropah dari kalangan umat Islam kerana mereka amat yakin dengan janji Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan penawanan umat Islam ke atas Rome. Orang-orang Yahudi juga menyedari bahawa kehadiran mereka di bumi Palestin adalah untuk dihancur binasakan oleh umat Islam sebagaimana yang diperkhabarkan pada lisan Nabi Muhammad SAW. Namun, amat benarlah firman Allah SWT:

“Mereka ingkar dengannya sedangkan diri mereka mempercayainya dengan penuh yakin” (An-Naml : 14)

“Dan apabila datang kepada mereka perkara yang mereka ketahui, mereka (sengaja) mengkufurinya” (Al-Baqarah 89)

HUJAH BODOH YAHUDI MENENTANG NABI

“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus” (Al-Baqarah: 142)

Orang-orang Yahudi itu tidak langsung terbuka hati mereka untuk mempertimbangkan seruan dakwah Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, strategi Rabbani Rasulullah SAW dan umat Islam bersolat mengadap ke Baitul Maqdis telah dijawab dengan soalan yang mereka lontarkan dengan nada ejekan, “Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini?”.

Lantas Allah memerintahkan kepada Nabi SAW supaya membidas sangka dangkal Yahudi itu dengan menyatakan bahawa semua arah yang dihadap adalah milik Allah. Tidak ada keistimewaan bagi suatu arah berbanding suatu arah yang lain. Allah itulah yang memerintahkan hambaNya supaya beribadah mengadap ke mana-mana arah yang dikehendakiNya. Persoalan memilih suatu arah dan tidak suatu arah yang lain, adalah dengan sifat patuh dan taat kepada perintah Allah dan bukannya atas motif-motif cetek seperti yang dipercayai oleh Yahudi berkenaan.

WASATHIYYAH, SIFAT ISTIMEWA UMAT MUHAMMAD

“Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).” (Al-Baqarah: 143)

Di dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa umat Muhammad SAW akan menjadi saksi bagi sekalian manusia di hari Qiamat nanti. Manakala Nabi Muhammad SAW pula akan secara khusus menjadi saksi bagi umatnya. Keterangan tentang hal ini terujuk kepada hadith Nabi SAW:

“Sesungguhnya umat-umat pada hari Qiamat mengingkari tentang perutusan para Nabi. Lantas Allah SWT memerintahkan kepada para Nabi supaya mendatangkan bukti (bahawa mereka telah menyampaikan risalah Allah SWT); dan Allah itu terlebih dahulu mengetahui tentang hakikat ini. Lalu para Nabi datang kepada umat Muhammad SAW untuk mendapatkan kesaksian. Umat-umat yang terdahulu bertanya: bagaimanakah kamu tahu tentang perihal kami (sehingga kamu boleh menjadi saksi bagi kami)? Lalu umat Muhammad SAW menjawab: kami mengetahui tentang perihal kamu semua melalui perkhabaran Allah di dalam kitabNya yang menyebut di atas lisan NabiNya yang benar. Lalu umat Muhammad SAW datang kepada Baginda SAW dan ditanya tentang perihal umatnya. Lalu Muhammad SAW menyucikan umatnya (dari anggapan keraguan) dan bersaksi di atas sifat adil mereka sebagai saksi. Dan demikian itulah Allah SWT menyebut (yang bermaksud): “Maka bagaimanakah tatkala Kami datangkan bagi setiap umat itu saksi (bagi mereka) dan Kami datangkan kamu pula sebagai saksi bagi mereka (umat Muhammad SAW)” [An-Nisaa’ : 41]”

Kualiti yang melayakkan umat Muhammad SAW itu menjadi saksi di hadapan Allah untuk sekalian manusia adalah kualiti Wasathiyyah. Maksud Wasathiyyah di sini adalah keseimbangan yang ada pada Islam dan umatnya di antara dua sempadan keji. Lihat sahaja, Yahudi mencaci pada Rasul dengan menuduh mereke dengan tuduhan zina dan sebagainya, manakala Nasrani pula mengangkat martabat Rasul sehingga kepada ketuhanan lantas bertuhankan manusia. Akan tetapi Islam memuliakan seluruh Rasul dan dalam masa yang sama tidak mengangkat martabat mereka ke darjat melampau yang menceroboh hak Allah SWT.

Sistem sosialis menafikan kewujudan individu dengan anggapan bahawa individu itu hanyalah peralatan negara. Semua hasil perlu diserahkan kepada negara dan kemudian negara mengagihkannya sama rata kepada rakyat supaya secara teorinya, ia dapat membasmi kemiskinan dan jurang antara golongan kaya dan fakir. Manakala sistem kapitalis pula memberikan ketinggian kepada individu sebagai pemilik mutlak kepada sekalian hasil usaha individu berkenaan. Secara teori, ia akan menjadi motivasi yang menggalakkan persaingan dan tentunya persaingan akan meningkatkan mutu. Tetapi sistem sosialis menjadikan sekalian rakyat miskin, dan yang kaya hanyalah pemerintah yang berkuku besi. Manakala kapitalisma pula menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan memonopoli segala hasil mahsul, sedangkan yang miskin terus ketinggalan dan tercengkam, lantas jurang antara keduanya terus melebar tanpa sekatan. Padahal Islam datang mengimbangkan antara keduanya. Individu berhak ke atas hasil usahanya, namun masih ada tanggungjawab sosial yang dinaiktarafkan sebagai rukun agama. 2.5% daripada pemilikan hendaklah dibayar sebagai zakat, supaya keseimbangan berlaku dan golongan miskin tidak terbiar hancur lebur oleh rempuhan monopoli pesaing gergasi.

Banyak lagi contoh lain tentang sifat Wasathiyyah di dalam Islam termasuklah perbahasan tentang aqidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah di antara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam masalah perbuatan hamba, dan sebagainya.

Sesungguhnya amat mulia dan tinggi sekali kualiti Islam sebagai ad-Deen yang Kamil dan Adil. Inilah yang menjadi keistimewaan umat ini sehingga layak menjadi saksi bagi sekalian umat manusia yang terdahulu.

PERTUKARAN QIBLAT ADALAH UJIAN ALLAH

“Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.” (Al-Baqarah: 143)

Solat yang dikerjakan oleh Nabi SAW dan umat Islam dengan berqiblatkan Baitul Maqdis bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda SAW dan sahabat perlu meninggalkan Kaabah yang lebih dikasihi dan dicintai, di samping mengadap Baitul Maqdis yang menjadi qiblat musuh utama mereka iaitu orang-orang Yahudi. Tambahan pula mulut-mulut manusia bodoh itu sentiasa mempersendakan Rasulullah SAW dan umat Islam yang ‘miskin qiblat’ pada pengamatan dangkal mereka. Sesungguhnya semua ini adalah ujian Allah dan ia memang berat kecuali bagi mereka yang beroleh petunjuk dari Allah SWT.

IMAN GOLONGAN TERDAHULU TIDAK SIA-SIA

Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).” (Al-Baqarah: 143)

Para sahabat tertanya-tanya, bagaimana pula dengan hal mereka yang dahulunya bersolat mengadap Baitul Maqdis dan kemudiannya telah meninggal dunia. Pertanyaan mereka itu adalah dengan rasa kebimbangan kalau-kalau iman mereka itu tersia-sia. Kerana itulah mereka menimbulkan persoalan ini dengan mengemukakan alasan bahawa bahkan mereka yang telah mati itu, mati kerana syahid terbunuh mempertahankan Islam. Alangkah ruginya jika iman mereka tersia-sia. Lantas Allah SWT menjawab, “Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu.”

Di dalam ayat ini juga Allah SWT menamakan solat itu sebagai Iman. Benar sekali kerana solat itu adalah ibu kepada segala ibadah dan di situlah letaknya benih, baja dan tunas kepercayaan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya solat dan Iman mereka tidak akan sekali-kali tersia-sia kerana mereka itu semasa hayatnya, bersolat mengadap Baitul Maqdis adalah kerana ketaatan mereka kepada Allah, sama seperti ketaatan kamu pada hari ini yang bersolat mengadap ke Kaabah, juga dengan perintah Allah SWT.

PENGAJARAN

Banyak sekali pengajaran yang boleh kita perolehi daripada peristiwa ini. Kita melihat bagaimana Nabi SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak pula mereka menghabiskan dahulu solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat berikut untuk mengadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini. Di dalam aspek individu, kita suka menangguhkan kewajipan. Dari aspek individu kita tangguhkan qadha’ puasa, kita lewatkan pembayaran hutang, dan tidak mengerjakan solat di awal waktu dan pelbagai lagi kelewatan yang berlaku tanpa uzur dan tanpa sebab selain kerana lemah dan cacatnya iman itu sendiri.

Manakala dari aspek yang lebih besar, bagaimana masyarakat kita amat gemar melewatkan pengagihan harta pusaka dan ‘perbicaraan kuasa’ ke atas tanah sehingga menjadi beban kepada anak-anak di masa hadapan serta kerap kali menjadi punca kepada keretakan hubungan keluarga apabila timbulnya krisis harta pusaka.

Begitu juga di dalam aspek kenegaraan, hukum hakam Islam dari segi ekonomi, politik, perundangan dan sebagainya, banyak sekali hukum Allah yang diK.I.Vkan (keep in view) dengan pelbagai alasan bahkan sesetengahnya tanpa alasan. Jika dilaksanakan peraturan Islam, bimbang nanti timbul masalah ini dan itu. Keterlibatan badan-badan Islam di dalam perniagaan yang tidak Islamik juga tidak dapat dihentikan serta-merta walaupun hukumnya telah diperjelaskan, kerana beralasan menanti harga saham stabil!. Jauh benar akhlaq kita hari ini dari sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Peristiwa ini juga menunjukkan kepada penerimaan pakai Hadith Aahaad, bilamana pemberitaan tentang pertukaran qiblat hanya disampaikan oleh seorang sahabat.

Begitu juga, sikap dan akhlaq Yahudi yang mesti kita berikan perhatian. Banyak sekali usaha yang telah dibuat untuk mencenderungkan hati mereka kepada Islam sehinggakan Nabi SAW berkorban jiwa dan perasaan, bersolat mengadap qiblat mereka bersama ejekan dan sendaan yang tidak lekang dari telinga. Apakah ada faedahnya? Apa yang pasti, pendirian Yahudi itu adalah akhirnya sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT:

“Yahudi itu tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, Nasrani itu juga tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, sehinggalah kamu mengikut cara hidup dan kehendak mereka.” [al-Baqarah : 120]

Semoga peristiwa ini menjadi teladan kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan di akhir zaman yang penuh fitnah. Wallahu A’lam bis Sawaab.

Wassalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
31650 Ipoh
23 Shaaban 1425H /7 Oktober 2004

 

Assalamualaikum wbt....

USTAZ,
saya ni bukanlah mewakili mana mana parti politik,dan saya ada soalan penting untuk ditanya kepada ustaz.Saya harap sangatlah ustaz dapat menjelaskan persoalan saya ni berdasarkan  hujah dan dalil naqli Alquran dan juga hadis soheh.

Adakah menubuhkan sesuatu parti politik itu haram? Setahu saya di Arab Saudi tiada parti politik kerana katanya ia boleh memecahbelahkan umat. Jadi apakah hukumnya penubuhan parti politik ini? Kerana setahu saya semasa zaman nabi terdahulu tiada seorang nabi,para anbiya dan syuhada yg menubuhkan parti utk mendaulatkan Islam.Malahan penubuhan parti politik inipun sebenarnya bukan datang dari islam malahan ianya diasaskan oleh org kafir!

Lagipun, bukannya saya ni jahil sangat mengenai keadaan politik di negara ini. saya tahu bahawa pihak pemerintah pun banyak menyeleweng dari islam! Umat islam hanya akan bersatu dibawah kalimah laailahaillalah dan tiada pertikaian pun mengenainya! Tapi saya agak ragu ragu dgn memperjuangkan  islam ini dgn menubuhkan parti!mengapa tidak boleh kita perjuangkan islam melalui cara dakwah spt pertubuhan tabligh tersebut?

Lagipun,saya dapati bahawa cara mereka berdakwah ialah dgn memantapkan iman dan amal.Saya  berkata sedemikian kerana inilah baru kali pertama saya mengikuti tabligh  selama 3 hari bertempat di Naza Plantations, Raub, pahang. Sepanjang saya mengikuti tabligh tersebut,Banyak perkara telah saya belajar. Tujuan tabligh inipun sebenarnya bukannya utk hanya berdakwah pada org,tapi utk mentarbiahkan diri sendiri,agar Iman dan amal dapat dimantapkan. Saya dapat merasakan sendiri persaudaraan islam,dan Allah telah merahmati dan memberkati kami dgn memberikan pengertian sebenar tentang hakikat kehidupan!!

Dan apa yg menakjubkan hati saya ialah ada diantara jemaah tabligh ini ada yg sebelum ini tak pernah sembahyang dan tak FAHAM apa itu agama pun, Menangis kerana keinsafan  dan mula Faham akibat daripada usaha Ustaz yg memberikan syarahan, bayan dan majlis taalim mengenai Iman dan amal!!

Dan saya pun berfikir semula tentang usaha Parti Pas khususnya.banyak yg berbicara mengenai kepentingan  kembali pada Alquran dan assunnah. Memang betul, usaha itu perlu disokong,tapi, kebanyakan masy. kita hari ini tak paham kenapa kena kembali pada Alquran dan sunnah, Sebab apa ustaz, SAYA percaya kerana  iman dan amal mereka sendiri AMAT RAPUH!!  Salah satu perkara yg amat amat ditekankan semasa tabligh itu ialah SEMBAHYANG BERJEMAAH. Kita boleh lihat betapa kosongnya masjid dan surau hari ini!!Jadi tak hairanlah masy.kita terus berada dalam kelalaian!!

Saya percaya jika pihak PAS menekankan usaha iman dan amal ini dalam dakwah dan ceramah mereka,insyaallah masy. akan mula paham!

Jadi saya amatlah berharap pada ustaz utk menerangkan kepada saya mengenai persoalan diatas. Saya yg tak ada ijazah agama  ni tak tau apa pun! Kalau boleh penjelasan itu jangan lah  terlalu bias. Pegang pada kebenaran..

Jazakallahu khairan kathira.

Muhammad Syafiq



Jawapan Ustaz Ali Muda

Wa`laikumussalam warahmatuLlah.

Alhamdulillah, sdr telah diberi taufik oleh Allah s.w.t. utk memahami Islam atau sebahagian drp Islam. Daripada seorg yg kurang faham apa peranan agama menjadi seorg yg merasakan kemanisan hidup beragama. Bersyukur juga kerana sdr telah terlibat dgn salah sebuah pergerakan yg cintakan Islam dan ingin melihat Islam didaulatkan di bumi Allah s.w.t. ini, w/pun dgn caranya yg tersendiri.

Persoalan sdr ini berfokus kpd cara utk menegakkan Islam, setelah sdr bersetuju bahawa pemerintah umat Islam hari ini tidak boleh diharapkan utk mendaulatkan Islam secara syumul. Persoalannya apakah boleh Islam diperjuangkan menerusi penubuhan parti politik, yg menurut sdr, tidak pernah dilakukan oleh para nabi dan Nabi Muhammad s.a.w. Arab Saudi juga, menurut sdr, mengharamkan penubuhan parti politik kerana boleh memecahbelahkan umat.

InsyaAllah, saya akan menjawab persoalan sdr ini dgn cara akademik/ilmiah berdasarkan hujah tanpa bias kpd mana2 pihak, w/pun sdr sendiri telah menunjukkan kecenderungan sdr kpd satu pihak. Harapan saya, jika jawapan saya ini tidak menjurus kpd kecenderungan sdr, janganlah sdr anggap saya bias. Maka sukalah saya tegaskan bahawa saya juga tidak menganggotai mana2 parti politik kerana saya ingin bebas membuat penilaian berdasarkan ilmu yang saya belajar. Jika ilmu saya mengatakan 'itu', maka tiada siapa berhak menidakkan kebenarannya melainkan dgn hujah ilmu juga, bukan dgn sentimen, fanatik, prasangka dan sebagainya. Mungkin orang lain berpendapat berlainan berdasarkan ilmu juga, maka saya terima hal itu atas prinsip 'al-khilaf al-masyru`' (khilaf yg dibenarkan syarak), jika ia berada dlm lingkungan perkara cabang atau ranting (furu`), bukan pokok (Usul). Dan ILMU yg saya maksudkan ialah kefahaman yg mendalam terhadap sesuatu persoalan, dgn perantaraan alat2 yg disepakati utk menuju kpd kefahaman itu.

Jika persoalannya ialah berkaitan hukum atau pandangan Islam dlm sesuatu perkara, maka sudah pasti alat2 yg wajib utk menuju kpd kefahaman yg sebenar ialah kefahaman asas terhadap sumber Islam iaitu nas2 al-Quran dan hadis (yg sahih) serta perbahasan ulama yg muktabar ttgnya. Oleh kerana nas2 al-Quran, hadis dan perbahasan ulama muktabar itu kebanyakannya dalam B. Arab, maka kefahaman mendalam dlm bahasa itu adalah satu keperluan yg wajib. Tidak cukup setakat itu, kefahaman yg mendalam terhadap ilmu disiplin berhujah dgn al-Quran dan hadis (iaitu ilmu Usul al-Fiqh dan Qawa`id al-Fiqh) adalah juga suatu yg mesti dan wajib.

Berbalik kpd persoalan sdr, apakah masyru` (dibenarkan syarak) penubuhan parti politik utk menegakkan Islam?

Sdr beranggapan ia tidak masyru` berdasarkan hujah2: (1) Di Arab Saudi tiada parti politik kerana menurut mereka parti politik boleh memecahbelahkan umat, (2) Tiada seorang nabi dan para pejuang syuhada zaman dulu yg berjuang menegakkan Islam melalui parti politik, (3) Parti politik berasal drp sistem kafir, (4) Parti politik boleh digantikan dgn cara berdakwah kpd iman dan amal, spt yg dilakukan oleh Jamaah Tabligh.

Demikian hujah2 sdr. Tetapi saya ada hujah2 lain yg menunjukkan penubuhan parti politik Islam sebg suatu yg masyru` bahkan dituntut dlm zaman sekarang. Hujah2 saya spt berikut:

1) Tiada nas s/ada dlm al-Quran, hadis atau kata2 ulama terdahulu yg muktabar bahawa penubuhan parti politik itu dilarang syarak. Dlm syariah (Usul al-Fiqh), ada satu kaedah yg berbunyi "Aslul Asy-yaa' al-Ibahah" (Asal sesuatu perkara itu adalah harus). Semua perkara di dunia ini asalnya harus, melainkan setelah datangnya nas2 yg melarangnya, barulah hukumnya bertukar menjadi haram atau makruh, ataupun apabila datangnya nas2 yg menyuruhnya, maka ia pun bertukar menjadi wajib atau sunat. Antara haram dan makruh, atau antara wajib dan sunat, adalah berdasarkan sejauh mana larangan dan suruhan itu, dgn sokongan nas2 yg lain, yg difahami oleh ulama yg berkecimpung dlm bidang ilmu prinsip pengeluaran hukum Islam (iaitu ilmu Usul al-Fiqh), dgn sokongan ilmu yg luas ttg hadis Nabi s.a.w., yg merupakan praktis kpd seluruh hukum Islam yg wujud sebelum kemangkatan baginda.

Oleh kerana tiada nas yg melarang, maka penubuhan parti politik adalah harus. Itulah asal dan dasarnya.

2) Apabila kita bercakap mengenai parti politik Islam (iaitu parti yg berjuang utk mendaulatkan Islam), maka kita telah terkeluar drp asal dan dasar hukum tadi (harus). Hukum itu telah bertukar menjadi sekurang-kurangnya sunat, kalaupun tak wajib. Ini berdasarkan nas al-Quran yg bermaksud: "Dan bertolong menolonglah kamu dlm perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong menolong dlm perkara dosa dan permusuhan…" (Al-Maidah: 2). Jika parti Islam bertujuan utk bergabung tenaga menegakkan Islam, bagaimana ia dikatakan haram, sedangkan ia bertepatan dgn kehendak ayat tersebut? Apatah lagi tiada satu nas pun yg melarangnya.

3) Walau bagaimanapun, jika kita merujuk kpd nas yg lain, kita dapati penubuhan parti politik dlm sebuah negara demokrasi spt Malaysia adalah dituntut oleh syarak. Ada nas yg bermaksud "Sesungguhnya Allah menyukai orang2 yg berjuang di jalan-Nya dlm satu saf (barisan/front/ organisasi) seumpama sebuah bangunan yg berdiri teguh…" (Al-Saf: 4). Alangkah bodohnya umat yg ingin melihat Islam tertegak di muka bumi, tanpa membuat persediaan yg lebih baik drp kaum yg ingin merobohkan Islam atau yg berpura-pura cinta Islam (spt yg sdr sendiri faham), ataupun sekurang-kurangnya membuat persediaan yg setanding dgn musuh itu. Adakah Allah s.w.t. akan menolong dgn mukjizat semata-mata tanpa wujudnya usaha yg tersusun dan sistematik drp para pejuang?  Sedangkan Nabi s.a.w. sendiri tidak diberikan mukjizat melainkan setelah banginda bekerja keras siang malam dgn tulang empat kerat.

Kalaulah musuh ada barisan/front/ organisasi yg memonopoli sistem demokrasi, apakah pejuang Islam perlu pejam mata dan pekakkan telinga saja atas alasan demokrasi, parti politik dan pilihanraya adalah sistem ciptaan org kafir!!?? Apakah patut pejuang Islam membiarkan saja kerusi eksekutif yg berkuasa mencipta undang2 ke atas umat di dewan rakyat, parlimen, dewan undangan negeri dll diduduki oleh puak yg benci kpd Islam secara zahir batin atau secara batin sahaja (terlihat kebenciannya secara luar kawalan/ tak sengaja)?  Realiti dan hakikatnya, sama ada rakyat suka atau tidak, org yg menduduki kerusi2 eksekutif itulah yg mencipta, menggubal, meminda atau membatal undang2 sebaik sahaja mereka berkuasa setelah menang dlm pilihanraya 'demokrasi'. Bila mereka memiliki kuasa itu, persetankan sahaja kehendak rakyat terbanyak. Mereka kata mereka telah diberi mandat selama 5 tahun, kalau tak setuju, tunggu 5 tahun!! (W/pun mandat itu diperolehi secara penipuan spt undi pos yg menjadi taboo kpd pembangkang) . Bila mereka kata kita tak boleh laksanakan hukum jenayah dlm al-Quran (hudud), rakyat (termasuk org yg cintakan al-Quran dan Islam spt sdr) terpaksa terima. Bila mereka kata harga barang itu ini dinaikkan, semua rakyat terpaksa bayar w/pun perit. Bukanlah susah utk mencipta beberapa rasional di sebalik kenaikan harga barang itu dgn sokongan sedikit 'statistik' atau 'angka' yg entah betul ke tidak. Rakyat terima ajelah. Bila mereka nak langgar perjanjian yg mereka sendiri buat, rakyat pun terpaksa akur, sebab mereka masih berkuasa sebg kerajaan pusat.

Jika itu realiti dan hakikat posisi kuasa pd hari ini, kenapa pejuang Islam perlu mengasingkan diri dan lari drp merebut peluang utk melaksanakan Islam melalui kuasa? Apakah Nabi s.a.w. mampu melaksanakan Islam tanpa kuasa yg diusahakan? Bukankah perpindahan dr Mekah ke Madinah (Hijrah) itu sebg satu strategi utk mempraktikkan Islam melalui kuasa politik/pemerintaha n di sebuah negara yg bebas dan berdaulat (w/pun bukan secara parti politik spt hari ini)? Secara logiknya, adakah baginda akan berjaya menegakkan Islam tanpa berhijrah mendapat sebuah negara yg berkuasa politik? Adakah Islam akan boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebuah negara dan isitem yg beas dan tersendiri? Bukankah baginda telah boleh berdakwah, beriman dan beramal di Mekah? Kalau dah boleh, kenapa sibuk2 mengajak para Sahabat r.a. berhijrah? Sedangkan beramal di Mekah itu mendapat pahala yg paling besar?

Jawapan kpd soalan2 di atas ialah "kuasa eksekutif itu adalah asasi utk mempraktikkan Islam secara syumul di bumi Allah s.w.t. ini". Zaman Nabi s.a.w. ia (kuasa eksekutif) itu didapati melalui hijrah dan jihad di medan, manakala zaman ini (dlm konteks M`sia dan kebanyakan negara), ia diperolehi melalui pilihanraya.

Kita perlu faham, Islam itu bukan sekadar iman dan amal spt solat, zakat, haji, zikir atau baca al-quran shj. Kalau itulah shj Islam, Nabi s.a.w. tak perlu berhijrah, sebab semua itu boleh dilakukan di Mekah, dgn pahala yg paling besar lagi. Itu semua amal individu, kalau tak ada negara dan kuasa pun kita boleh amalkan ibadat2 itu. Tetapi Islam lebih luas drp itu. Ada banyak lagi suruhan Allah s.w.t. yg tidak boleh dilaksanakan jika Islam tidak mempunyai negara atau kuasa berdaulatkan al-Quran dan sunnah, spt suruhan melaksanakan hudud (sistem kawalan jenayah secara Islam), suruhan melaksanakan ekonomi Islam secara total tanpa campuran riba, suruhan jihad memerangi musuh yg mengkhianati umat Islam, suruhan mengharamkan segala yg diharamkan Allah s.w.t. (spt arak, judi dll) dan menghalalkan segala yg dihalalkan-Nya (tazkirah bulan Ramadhan, ceramah agama, perhimpunan aman dan segala perkara yg bukan bertujuan jahat) dan yg paling besar sekali ialah suruhan menyebarkan rahmat kpd sekalian alam. Hampir semua pemimpin umat Islam hari ini tidak melaksanakan agenda terbesar Islam ini kerana mereka bernegara dan kuasa sekular. Org bukan Islam, khususnya kuasa2 barat semakin memandang lekeh kpd Islam di zaman pemimpin2 Islam sekular berkuasa kini. OIC? ...diketawakan saja!! Malaysia negara contoh?? …nampaknya lebih kpd syok sendiri!!

4) Kalau demikianlah hal dan realitinya hari ini, maka tak mungkin hanya dgn berdakwah keluar 3 hari, 10 hari, 40 hari, sebulan, 4 bulan bahkan setahun sambil beramal ibadat individu (solat, zakat, haji, zikir, baca al-Quran dan seumpamanya) ; tak mungkin dgn cara itu saja negara Islam  akan tertegak spt Nabi s.a.w. pernah sunnahkan di al-Madinah al-Munawwarah. W/pun saya tak nafikan amalan2 itu juga adalah baik. Tetapi baik semata-mata tanpa strategi jangka pendek dan panjang, lebih dekat kpd sia2. Apakah amal sebegitu telah menepati kehendak Allah s.w.t. kita berjuang dlm satu saf/barisan/ front/organisasi seperti sebuah bangunan yg terpacak teguh tanpa goyah dek sebarang gegaran? Sedangkan musuh (yg jelas atau yg spt musang berbulu ayam) sedang enak menjahanamkan Islam yg syumul bawaan Nabi s.a.w., kita masih asyik berbalah ttg apakah boleh berparti politik.

Maka dlm konteks hari ini, berparti politik utk menegakkan Islam adalah lebih dekat kpd wajib berdasarkan satu prinsip al-Qawa`id Al-Fiqhiyyah yg berbunyi "Maa laa yatimmu al-waajib illaa bihii fahuwa waajib" (Sesuatu perkara, yg tidak akan sempurna perkara yg telah wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib juga hukumnya). Mendaulatkan Islam secara syumul (menyeluruh) s/ada dlm bidang akidah, akhlak, ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, jihad, dan sebagainya itu adalah satu kewajipan yg telah pasti berdasarkan nas2 yg telah sedia ada dlm al-Quran dan hadis sahih. Tetapi banyak bidang itu tidak dpt dilaksanakan tanpa wujudnya negara, kuasa dan sistem Islam yg memimpin. Maka mewujudkan negara, kuasa dan sistem Islam itu wajib hukumnya.

Dlm konteks hari ini, negara, kuasa dan sistem itu tak akan dapat dicapai melainkan dgn cara2 spt: pilihanraya demokrasi (di kebanyakan negara umat Islam w/pun demokrasi palsu), revolusi (spt Iran 1979), reformasi (spt Indonesia, Filipina). Dua cara terakhir itu boleh mengakibatkan mudharat dan tumpah darah, maka hendaklah dielakkan selagi ada jalan yg lebih selamat, iaitu pilihanraya demokrasi.

Oleh kerana pilihanraya demokrasi itu hanya boleh disertai oleh parti politik berdaftar, maka menjadi kewajipanlah kpd pejuang Islam utk mendaftarkan paling kurang sebuah parti politik yg khusus utk menegakkan Islam. Kalau tidak, tak boleh masuk pilihanraya. Kalau tak boleh masuk pilihanraya, tak mungkin akan dapat duduk di kerusi eksekutif itu. Kalau tak duduk, tak mungkin berkuasa dlm realiti negara hari ini!! …………Ada sesiapa lagi yg nak menidakkan realiti semasa secara membuta tuli???

5) Kalau pemerintahan dah OK (adil, bersih, bertanggungjawab macam al-Khulafa' al-Rasyidin) , memang tak perlu kpd parti2 politik, sebab memang boleh menyebabkan perpecahan. Tetapi apakah pemerintah hari ini boleh membuktikan keadilan, kebersihan dan kebertanggungjawaba n spt para khalifah yg dipuji oleh al-Quran dan mendapat didikan secara langsung drp Nabi s.a.w. itu? Tak ada!!… termasuklah kerajaan Arab Saudi sendiri. Kalau dah macam khalifah, tak kan dia benarkan tanahnya digunakan oleh Syaitan Terbesar (USA) sebg pangkalan utk menyerang saudara Islamnya di Iraq. Sebaliknya, ketidakwujudan parti politik langsung spt di Saudi lebih membawa kemudaratan kpd umat kerana pemerintah boleh berbuat apa saja tanpa siapa berani menegur.

6) Tidak semua perkara yg dicipta oleh org bukan Islam/kafir itu haram diguna pakai oleh umat Islam (spt sistem pilihanraya dan parti politik). Yg menjadi haram sesuatu perkara itu bukan sebab ianya dicipta oleh org bukan Islam, tetapi sebab dah ada nas yg mengharamkannya.

7) Tak semua perkara yg Nabi sa.w. tak buat, maka kita pun tak boleh buat. Nabi s.a.w. tak buat jalan raya berturap, bangunan tinggi2, pejabat agama, masjid surau yg banyak, tabung haji, dsb.nya. Tapi apakah kita pun diharamkan membuat perkara2 baik itu atas alasan baginda tak buat? Jadi kalau baginda tak buat parti politik yg sama sebijik macam hari ini pun, apa salahnya kita kreatif sikit dlm perjuangan Islam ini, demi melawan kekuatan sistem musuh?

8) Parti politik Islam pun bukan hanya berpolitik saja, mereka juga mendukung agenda dakwah, iman dan amal. Bahkan dakwah, iman dan amal yg lebih luas lagi drp yg tak berparti politik. Cuma kalau ada sikit2 kelemahan tu, memang manusia tak ada yg sempurna. Perbaikilah mana2 yg tak sempurna tu, setelah sedar dan tahu dasarnya betul dan tepat dgn kehendak Islam. Jgn kerana beberapa kelemahan itu, kita pun turut memusuhinya atau lebih sedih lagi kita pergi sokong parti jahiliyah pula. Ini yg parah nih!!

Kalau Jamaah Tabligh amat menitikberatkan pasal solat secara berjemaah di masjid (dan inilah yg sepatutnya), ajaklah ahli2 parti Islam berjemaah sama. Jgn kerana beberapa kerat yg tak berjemaah (atau yg tak solat pun ada), maka Tabligh terus hukum ahli parti Islam sebg tak beramal. Cuba Tabligh pergi dengar kuliah2 ilmu para pemimpin parti Islam itu, bukankah mereka berdakwah kpd iman dan amal juga?? Bila dah ramai sangat tu, biasalah ada yg nakal seorg dua. Itu perlu ditegur dan dinasihat, bukan dihukum jahat terus. Ahli Tabligh pun ada yg masih tak selayaknya. Kalau Tabligh kata mereka berusaha meningkatkan diri dlm jamaah, begitu juga ahli2 parti Islam. Oleh itu, bekerjasamalah. Jgn hentam menghentam atau undi parti sekular pulak. Daftarlah sebg pengundi yg sah dan berilah undi utk parti yg memperjuangkan Islam.

Sekian jawapan saya seikhlasnya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.

 
Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut seruan perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini. Ikrar mereka ialah ikrar seorang pejuang :

"Sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’"





Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa, tenaga, harta, darah dan nyawa. Sebagaimana taujihat Khalid Ibnu Walid r.a. ketika berdepan dengan tentera musuh:

"Kami datang dengan suatu golongan yang kasih kepada mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup"



Ketiga : Pemuda yang memiliki  kualiti dan tahap piawaian melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur merangkumi amal tarbawi, amal siasi serta amal kebajikan dan dakwah.

Keempat: Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang dihadapkan oleh musuh kepada kita. Bukan pemuda yang kasar dan ganas, bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi ....

 o Pemuda yang beriman dan bertaqwa
o Pemuda yang berilmu dan berwibawa
o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
o Pemuda yang berhemah dan berhikmah
o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada
o Pemuda yang tangkas dan berani
o Pemuda yang cerdas dan cergas
o Pemuda yang sabar dan tabah
o Pemuda yang amanah dan setia
o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ]

 Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda:

Islam telah bermula dalam keadaan gharib [ asing ], kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula, maka berbahagialah orang – orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing.

Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki pemikiran Islam yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki  keperibadian muslim yang unggul sekalipun ia seorang pelumba motor.

Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut Taghyiir  [ agent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara, masyarakat dan sistem pemerintahannya. Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem ciptaan manusia yang korup. Negara dan masyarakat yang hanya mementingkan pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual. Negara dan masyarakat yang hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan membina tamaddun serta peradaban terpisah dari wahyu Allah swt.

Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami , kebajikan dan sosial. Menghubungkan jamaah dengan ummah, menjadi jambatan antara jemaah dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta menanganinya dengan bijak dan bistari. Memimpin dan membimbing masyarakat secara hikmah berasaskan hujjah, mengambil tempat seorang pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali karramallahuwajhah :

Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya.

Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya untuk bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama lain sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk diurus. Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan pemuda yang mantap dan perkasa. Firman Allah swt :

"Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar."
(Surah Al Anfaal : Ayat 46)

Kesembilan : Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah. Berfikir dan merancang untuk memperkukuhkan jamaah agar senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah yang semakin mendesak. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong sedang amanah pula semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja memegang jawatan tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

"Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya"



Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada, merendah diri dan berjiwa besar. Sedia memberi arahan dan diarah. Sedia memimpin dan dipimpin. Sedia menegur dan ditegur. Sedia mengkritik dan dikritik . Sedia menasihati dan dinasihati. Sedia mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Cepat pula belajar dari kesilapan dan pantas mengambil iktibar dari kesalahan. Sedia mendengar pandangan dari siapa jua dan menelitinya lalu mengambil yang terbaik. Firman Allah swt :

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna."
(Surah Az Zumar : Ayat 18)
 
<< Start < Prev 1 2 3 4 5 Next > End >>

Page 2 of 5