|
Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera
Alhamdulillah, pada 9-10 Mac 2013, Pusat Islam An-Nur dengan kerjasama Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS telah dikunjungi oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman bersama krew beliau dari Ibrah Paradigm Training and Consultancy untuk mengadakan program Kem Al-Fatih 2.0 dengan tema “Serlah Potensi Kepemimpinan Mahasiswa Sehebat Al-Fatih”. Program ini telah dihadiri oleh peserta dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Teknologi Mara cawangan Seri Iskandar (UiTM Perak), Royal College Medical Perak (RCMP) dan juga beberapa pelajar sekolah seperti Sekolah Sultan Yusuf, Batu Gajah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Program ini adalah lanjutan dari program yang pertama yang dianjurkan oleh kepimpinan penggal 2012. Pelbagai modul dibuat bagi menggilap semangat dan menemukan potensi diri yang ada dalam diri para peserta yang hadir pada program ini. Dalam program dua hari satu malam ini, peserta didedahkan dengan kehebatan seorang manusia bernama Sultan Muhammad al-Fatih yang juga disebut oleh barat sebagai Mehmet II. Beliau merupakan tokoh yang telah membuka kota Konstantinopel (kini Istanbul) pada era Khilafah Turki Uthmaniyyah. Setelah 800 tahun Nabi mengungkapkan sabda baginda bahawa Konstantinopel akan dibuka oleh Islam yang mana pada ketika itu Raja yang membuka kota itu adalah Raja yang terbaik dan tenteranya juga adalah tentera yang terbaik.
Dalam siri program ini, peserta didedahkan dengan kehebatan cara fikir Sultan Muhammad al-Fatih sehingga berjaya membuka kota Konstantinopel. Motivasi yang diberikan supaya kita sentiasa fokus dalam urusan yang dilakukan, berfikiran positif, bersungguh-sungguh dan sebagainya untuk kita terus menggilap potensi diri ke tahap maksima.
Memetik dari buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih” yang ditulis sendiri oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman, beliau meletakkan 12 kuasa kepemimpinan al-Fatih yang menjadi faktor kejayaan baginda membuka kota Konstantinopel yang boleh kita jadikan sebagai panduan untuk membentuk cara fikir dan cara kerja kita supaya menjadi sehebat tokoh besar ini.
Alhamdulillah, sepanjang dua hari berprogram untuk Kem Al-Fatih 2.0, maklum balas yang diterima sangat memberansangkan. Insya-Allah Rakan Masjid UTP akan terus komited untuk membawa program-program yang bermanfaat kepada mahasiswa-mahasiswa Universiti Teknologi PETRONAS khususnya dan juga kepada warga Qaryah Masjid An-Nur Universiti Teknologi PETRONAS dengan harapan kita terus hebat dalam mengislahkan diri dan seterusnya berdakwah kepada seluruh umat.
Saya mewakili saf kepimpinan Rakan Masjid UTP mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah bersama-sama mengikuti kami dalam Kem Al-Fatih ini. Kami juga ingin mengucapkan sejuta penghargaan kepada Ustaz Syaari Abdul Rahman bersama krew beliau dari Ibrah Paradigm Training and Consultancy. Tidak lupa juga kepada Pusat Islam An-Nur yang terus menyokong dan bersama-sama Rakan Masjid UTP untuk membina biah solehah di kampus yang hebat ini. Semoga usaha kita yang kecil ini dipandang oleh Allah swt dan menjadi batu loncatan kepada kita semua untuk terus utuh di atas jalan dakwah ini.
Sekian.
ARIF AIZUDDIN BIN MOHD SA’AD Presiden Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS
Gambar 1 - Barisan Jawatankuasa Pelaksana Kem Al-Fatih bersama krew Ibrah Paradigm Training and Consultancy
Gambar 2 - Presiden RMUTP bergambar bersama krew Ibrah Paradigm Training and Consultancy
|